Mencari Hidayah

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah pertunjuk (kepada memeluk Islam)."
(Al-Qasas; 56)

Assalamualaikum,

Hidayah itu milik Allah. Hatta Rasulullah sendiri meminta kepada Allah, apatah lagi kita... Aku jadi risau melihat komen-komen serta kecaman sesama umat Islam sejak akhir-akhir ini. Memanglah, hati dan mata sakit. Memanglah, kita yang tahu perlu untuk menyampaikan kepada yang kurang tahu, lebih lagi kepada yang tidak tahu. Kita menyampaikan kekecewaan, kita memberi teguran. Tapi semuanya ada cara yang lebih baik dari sudut pandangan Islam.

Bila seorang hamba Allah lain tidak mengamalkan cara hidup Islam, sepatutnya kita fikirkan kemungkinan dan bukan terus menjatuhkan hukuman. Boleh jadi sipolan tidak mendapat didikan agama yang menjadi haknya. Boleh jadi juga Allah mengujinya dengan jalan yang berliku-liku, supaya sipolan menjadi hambaNya yang lebih baik. Boleh jadi sipolan memang tidak sedar akan kejahilannya. Boleh jadi juga sipolan itu satu ujian untuk kita – provokasi supaya kita berfikir. Ada pelbagai kemungkinan.

Segalanya datang bersama ujian. Hidup ini juga satu ujian. Setiap dari kita diuji dengan pelbagai cara yang berbeza dan setiap dariNya adalah penuh hikmah dan sesuai dengan kemampuan kita. Ilmu yang kita ada pun satu ujian untuk kita. Layakkah kita memalukan, menjatuhkan maruah, dan menghakimi sesama manusia dengan ilmu milik Allah - bila kita juga hanyalah seorang hamba? Dakwah perlu berhikmah dan kekerasan jika tidak kena pada caranya, tidak menyampaikan sebarang kebaikan.

Teringatkan doa Rasullah: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua Umar; dengan Umar Al-Khathab atau dengan Amr bin Hisham (Abu Jahal).” (HR At-Tirmidzi). Lalu Allah mengabulkan doa Baginda dengan keislaman Umar Al-Khattab.

Tentangan terhadap Islam dan isu akhlak pada awal perjuangan Islam lebih hebat dan dasyat daripada yang kita lihat hari ini. Tapi Rasulullah tidak pernah memberikan komen-komen yang merendahkan sesiapapun. Malah Rasulullah mendoakan semoga mereka beroleh hidayah Allah.

Apa salahnya kita pun mencontohi Rasulullah... Daripada kita mencemuh, lebih baik kita mendoakan semoga mereka dan diri kita juga beroleh hidayah Allah. Hidayah Allah itu amat besar dan Allah itu Maha Pengampun. Selagi belum ajal, tiada apa yang pasti. Dan kita akan diuji dengan apa yang kita katakan dan apa yang kita tuliskan...

*** Sebagai ingatan kepada diri sendiri... Semoga hati berhenti membenci dan mencaci... Semoga sipolan yang Allah uji dengan kepintaran dan bakat, kembali mencintaiNya dan berbakti ke jalan dakwah. Amiin. ***

Wassalam.

Comments

Anonymous said…
Amin meaning in malay Perkenankan lah..so perkenankan lah to whom?
kenapa tak habiskan or lebih sopan Amin Ya ALLAH meaning perkenankan lah Ya ALLAH...

Wallahualam..

D.H
'Aini said…
^___^ Thank you for your opinion. Ada betulnya... Saya tak terfikir pun. Biasanya dihujung Al-Fatihah pun di-amiin-kan sahaja... But Yes, Amiin Ya Allah, sounds much much better.

Popular posts from this blog

Inception: Movie Review

Knock, knock, knock!

New Moon, Finally