Posts

Showing posts from 2018

Semua Yang Aku Takuti

Image
Kamu Menjadikan aku Semua yang aku takuti
Kamu Memaksa aku mencari berani Menjadi semua yang aku takuti
Kamu Membuatkan  aku mahu Menakluki semua ketakutan itu
Dan menang kamu ~

Bintang

Kelelahan selepas hari yang panjang
Aku merenung langit
Gelap dan sunyi
Tiada bintangkah?

Dari bumi yang kecoh membangun
Di langit yang pekat gelap
Muncul satu kerlipan
Umpama satu lambaian
Yang kian mendekat
Mengukir senyuman yang berseri-seri

Dari satu kerlipan
Sebutir bintang yang semakin galak
Muncul sebutir lagi
Dan sebutir lagi di sana
Kemudian sebutir lagi di sini
Seolah-olah kudengar mereka ketawa menyapa
Memeriahkan langit yang tadinya gelap

Seorang gadis yang awalnya
Lenguh di merata sendi
Tersenyum menemui apa yang dicari
Lupa kekalutan kerja seharian
Positif untuk esok yang tak terjangkakan

'Aini Aton
14 Mac 2018
Kamu yang macam bintang

Tamak

Ada ketikanya kau mahu ucapkan Kata-kata yang tak mampu
Kau ungkapkan
Dalam penulisan
Apatah lagi lisan

Ada ketikanya kau hanya mahu difahami
Akan perkara-perkara yang tak mampu
Kau ungkapkan
Dalam penulisan
Apatah lagi lisan

Ada ketikanya kau jadi tamak Dengan perasaan yang tak mampu Kau ungkapkan
Dalam penulisan
Apatah lagi lisan

Lalu kau menjadi
Seorang lagi manusia
Yang mahu itu ini

'Aini
9 Mac 2018


Kemungkinan Kita

Aku dan kamu
Yang ada hanya
Angan-angan tentang
Kemungkinan-kemungkinan

Jika kita mahu
Jika kau memilihku
Jika aku menerimamu
Jika seluruhnya bersama kita

Sekadar angan-angan
Tentang kemungkinan-kemungkinan

Biar setakat itu sahaja

Dengan seluruh kemampuanku
Aku memilih
Untuk tidak menjadikan
Kemungkinan-kemungkinan itu
Realiti
Yang bahu kecilmu
Mungkin tidak tertanggungkan
Yang hati rapuhku
Mungkin tidak tertahankan

'Aini Aton
18 Januari 2018
Konfrontasi hati yang masih berjalan

Ombak Itu Kamu III

Bila pantai disapa ombak
Ia teringat kepada laut
Lautlah tempat ombak
Di lautlah tanggungjawab ombak
Luas dan mendalam

Bukan di sisi pantai

Mungkin
Mungkin aku tidak patut
Menamaimu ombak
Kerana walaupun
Ombak tidak dapat tinggal
Ia akan tetap tiba di pantai

Sedangkan kondisi kita
Realitinya
Tidak seharusnya
Wujud perkaitan
Seperti pantai dan ombak

Dan aku
Aku sejujurnya enggan menjadi
Seperti pantai yang terkesan
Oleh ombak
Aku enggan menjadi penanti
Ombak yang datang dan pergi

Dan paling penting
Aku tidak mahu bermimpi
Apa yang bukan kepunyaanku

'Aini Aton
16 Januari 2017
Masih konfrontasi hati
Menghapus jejakmu

Ombak Itu Kamu II

Kamu ombak
Sebahagian dari
Lautan yang amat luas
Aku pantai
Cuma pinggiran kecil
Dari daratan

Pantai hanya persinggahan
Sedangkan ombak tempatnya bersama laut
Jelas sunnatullah untukmu

Malah datangnya ombak
Bukan kerana pantai
Hanya mengikut aturanNya

Deburan demi deburan
Usahlah dibicarakan berlebihan
Sedangkan buih-buih pun
Tak dapat kekal

Pun pantai
Tempatnya bersama daratan
Sesuai dengan sunnatullah untuknya

Pasrah menghantar ombak
Pulang ke pangkuan lautan

'Aini Aton
15 Januari 2018
Konfrontasi hati

Ombak Itu Kamu

Umpama pantai
Yang disinggahi ombak
Lalu berlalu pergi
Bersilih ganti

Pantai itu hatiku
Ombak itu perasaan
yang dibawamu

Sekejap
Mengubah pepasir
Membawa pelbagai isi lautan
Terdampar

Tapi aku pantai
Perasaan itu ombak
Yang menghempas
Yang akan berlalu
Pergi

Ombak tidak dapat tinggal
Pantai tidak dapat ikut pergi

Takdir ombak dan pantai
Sekadar begitu

'Aini Aton
12 Januari 2018
Berpaling & berlalu