Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Assalamualaikum,

Hari Ahad diisi dengan menonton Leftenan Adnan dan kemudian 1957 Hati Malaya pada sebelah malamnya di televisyen. Hati tersentuh dan menangis.

Aku selalu tunggu Leftenan Adnan. Ada isi dan erti perjuangan di situ. Kesempatan membaca dan menyelidik tentang beliau ketika menyiapkan folio Sejarah amat berharga. Seorang lelaki bernama Leftenan Adnan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir mempertahankan tanah airnya -- sehingga hanya berbekalkan bayonet berdepan dengan peluru.

"Sejarah Melayu membuktikan kita pernah menakluk nusantara, kita mampu membina empayar besar, mampu membuat kapal-kapal besar... lebih besar daripada Flora de la Mar milik Portugis. Itu sebelum kita dijajah. Orang lain nampak kelebihan kita, kehebatan kita, sebab itu mereka takut bila kita nak menuntut hak kita. Betapa susahnya Paduka Seri Sultan Perak, Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Raja Chulan, dan Undang Luak Rembau memperjuangkan untuk menubuhkan Askar Melayu... kerana mereka tahu Melayu yang merdeka mampu menggegarkan dunia. Ingat! Bangsa Melayu bangsa bebas dan berdaulat dan bangsa Melayu juga yang mencipta pepatah biar putih tulang jangan putih mata..."

"Jangan kita korbankan seorang tentera yang sedang dibakar dengan api kemarahan. Jika ada sepuluh lagi tentera seperti dia, tentera Jepun mungkin memerlukan sepuluh lagi divisyen untuk menakluk Malaya".

1957 Hati Malaya apatah lagi.
Kalau yang menonton hati tak tersentuh, tak rasa insaf, memang hati keras agaknya. Berjuang demi memerdekan negara dan bangsa! Babak paling menyentuh hati tentulah babak Tunku mengaku yang UMNO kekurangan dana untuk menghantar wakil ke London. Tunku memajakkan hartanya untuk tabung dana UMNO; "... nak bayaq yuran pun ahli tak mampu", betapa susahnya perjuangan pada zaman itu. Tapi bila sama-sama susah, sama-sama mahu merdeka, kita bangun dan bersatu, kita cari jalan dan haluan. Satu lagi babak penting, bila rumah Tunku bocor. Ini memang disebut dalam satu dokumentari mengenai Tunku; Tunku sangat marah dan bertekad Malaya mesti merdeka segera. Terasa sungguh maruah dipermainkan di bumi sendiri; "... before I put you off my country in two years time", begitu kata Tunku.

Untuk seketika, aku berharap setiap rakyat Malaysia pada hari ini mempunyai api perpaduan dan melihat harga sebuah kemerdekaan seperti mereka yang berjuang untuk kemerdekaan... merasai perasaan mereka yang melihat Union Jack diturunkan... merasai kecintaan mereka yang melihat Jalur Gemilang dan menyanyikan Negaraku untuk pertama kalinya... merasai kemenangan mereka yang melaungkan Merdeka! bersama Tunku.
Aku berharap kita pada hari ini untuk sesaat merasai bahang nikmatnya merdeka pada 31 Ogos 1957.

Semangat itu dah luntur. Jalur Gemilang itu hanya kain bercorak, Negaraku sekadar mainan dan merdeka itu tidak bererti selain satu sambutan... Bagaimana dari susur galur pejuang dan pencinta kemerdekaan lahir generasi yang serba lupa, itu untuk kita fikir-fikirkan. Ini tanah air kita, tanah tumpahnya darah... Ini tanah pusaka kita. Kenapa kita nak goncang bumi tempat berpijak?

Aku mungkin bukan yang paling patriotik, aku mungkin salah seorang yang hanya patriotik pada bulan kemerdekaan. Tapi, jadilah siapa kamu ingin jadi dan pergilah ke mana kamu ingin pergi. Tapi jangan lupa jati diri. Jangan digadai agama dan negara. Ingat, harga sebuah kemerdekaan itu mahal: ada hati hati yang terluka dan ada pengorbanan yang kita sendiri mungkin tak ingin persetujui.

Bersempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-53, aku memanjatkan kesyukuran kepada Maha Penyayang. Semoga Allah terus merahmati Malaysia sebagai negara yang merdeka untuk selama-lamanya.
Ya Allah, rahmatilah negara kami Malaysia dengan limpahan kasih sayang-MU.

Negaraku, tanah tumpahnya darahku. Rakyat hidup bersatu dan maju. Rahmat bahagia Tuhan kurniakan. Raja kita selamat bertakhta... Rahmat bahagia Tuhan kurnikan. Raja kita selamat bertakhta.

Wassalam.

TANAH PUSAKA
Allahyarham Sudirman, Sharon Wong & Mani Mala

Sungguh gemilang negeriku
Yang kupuja oh tanah airku
Di merata dunia
Harum semerbak namamu oh Malaysia

Aman makmur kaya-raya
Selama-lama hidup maju jaya
Oh tanah pusaka
Negaraku yang berdaulat dan merdeka

Tanah pusaka bertuah
Berbagai bangsa di dalamnya
Hidup aman dan berjaga
Bertekun kerja dan berjasa

Musuh melanggar kugempur
Sungguh rela kugugur kerana
Kau tanah pusaka
Biar putih tulang jangan putih mata



Comments

Azra said…
Kudos for this excellent entry my dear and what a song you have at the end of it.
Memang hati sgt tersentuh membaca ayat2 dari filem patriotik tersebut. Taktau lah kalau ada yang tidak terdetik rasa semangat juang dalam diri bila terbaca kenyataan2 yg Aini dah nyatakan di atas.
Mudah-mudahan kita menjadi bangsa melayu yang tidak mudah lupa. Dan moga2 merdekanya kita semua akan terus berkekalan selama2nya..untuk anak2 bangsa kita yang seterusnya.
'Aini said…
Thank you, kak.
byk lagi kata2 yg menyentuh hati dan buat kita terfikir, kemerdekaan tu bukan sekadar satu celebration...

Popular posts from this blog

Knock, knock, knock!

Inception: Movie Review

New Moon, Finally