Usai Stanza Cinta

Assalamualaikum,

Membaca "Stanza Cinta" menitipkan rindu kepada keluarga usrah di Sarawak. Tema dan kisah yang dibawakan oleh penulis terasa tidak asing dan dekat sekali di hati. Ada diantaranya memang pernah aku alami, sebahagian lagi memang terjadi - lalu aku percaya "Stanza Cinta" bukan sekadar cerita di atas kertas. Pertama kalinya, sesebuah novel itu terasa begitu peribadi dan penuh emosi untuk aku. Bukan hanya kerana rindu, tapi yang utamanya, aku perlu diingatkan. Alhamdulillah, novel ini adalah peringatan yang baik.

Banyak yang disampaikan melalui watak Amni Sorfina. Melalui "ketenangan yang suci" itu, disampaikan impian dan prinsip yang wajar bagi seorang Muslimah; dan bagaimana menjadi Muslimah yang sejati. Menelusuri hidup seharian Amni Sorfina pembaca diperkenalkan dengan pendidikan akhlak yang baik - kepentingan solat dan doa, saranan bersabar dan bersangka baik, tanggungjawab, adab pergaulan serta cara terbaik untuk berhadapan dengan ujian Allah. Aku suka bila "Stanza Cinta" memetik pelbagai hadith, ayat Al-Quran dan mutiara kata yang menyentuh hati sebagai kelangsungan risalah tarbiyahnya. Secara tidak langsung, hati terdidik dengan hikmah.

Persoalan yang utama adalah cinta, tapi bukan cinta biasa. Amni memperkenalkan konsep cinta dalam Islam. Cinta agung itu hanya milik Al-Khaliq dan itulah juga satu-satunya kunci cinta seorang Muslimah. Lalu menepati saranan Rasulullah supaya seseorang Muslimah itu memilih seorang lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami: “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” (Sunan Tirmizi #1004. Bertaraf Hassan)

Justeru, Amni menutup pintu hatinya daripada sekadar lelaki dan tidak putus berdoa kepadaNya untuk jodoh yang diredhai - pemilik tulang rusuk serta imam yang bakal membimbing dirinya yang telah diwakaf ke jalan Allah. Aku bersetuju dengan Amni, cinta seorang Muslimah itu hanya untuk seorang lelaki bergelar suami. Dari doa Amni, terasa indahnya penantian tersebut. Hati mana yang tidak berasa cinta kepada hamba lelaki yang yang sangat mencintai Maha Pencipta. Malah hati juga milikNya. Bukan rupa, harta mahupun keturunan yang jadi buruan, cuma sekeping hati yang ikhlas kepadaNya.

"Aku mencintainya kerana Allah. Aku mencintainya kerana agama yang ada padanya. Jika dia menghilangkan agamanya, maka hilanglah cintaku padanya…"

Setiap manusia tidak terlepas daripada ujian, begitu juga Amni. Berdasarkan pembacaan, didapati ramai yang tidak setuju apabila watak Amni menjadi lemah dan kalah dalam ujian hati. Mungkin terlupa bahawa Amni cuma manusia biasa, Amni dituntut untuk menjadi luar biasa tatkala berhadapan dengan peristiwa yang secara logiknya menyebabkan patah jiwa. Amni cuma seorang wanita yang memburu cintaNya. Kerana cinta Amni kepada Maha Penyayang, Amni bangkit dan mendapat pelajaran daripadaNya. Ujian yang mematahkan jiwa Amni sebenarnya membuatkan Amni lebih kuat dan matang. Sesungguhnya tiada yang sia-sia daripada Allah.

"Aku belajar daripada tarbiyah-Nya yang lalu, supaya ada batasnya dalam mencintai setiap makhluk-Nya. Cinta separuh matiku ini hanyalah untuk Allah. Namun, duhai suamiku, aku juga mencintaimu dengan segala yang aku miliki. Aku ingin menjadi zaujahmu yang terbaik, yang dapat menghiburkan hatimu dan membuat engkau selalu tersenyum melalui hari-harimu." Amni Sorfina.

"Kamu perlu istiqamah atas jalan ini. Walau apa pun badai yang datang selepas ini, jangan undur. Terus mara. Apabila jatuh, bangkit lagi. Itu baru Muslimah sejati. Apabila kamu berasa letih berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Tetapi, sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal." Ustaz Yazid.

Sejujurnya, "Stanza Cinta" adalah bacaan yang [lebih] sesuai untuk mereka yang melibatkan diri dengan dunia dakwah dan jemaah. Bukanlah tidak sesuai atau tidak difahami untuk mereka yang sebaliknya. Cuma struktur sosial, cara hidup dan persekitaran yang digambarkan boleh jadi sedikit sukar untuk dicerna mengapa dan bagaimananya. Pun begitu, andai yang membaca mempunyai minda terbuka yang mahu cuba untuk memahami mesej yang penulis cuba sampaikan dalam naskhah dakwah beliau, inshaAllah, banyak manfaatnya dan semoga Allah permudahkan perjalanan tersebut.

***Bahagian terbaik dari novel ini adalah mahar kahwin Amni yang berupa bacaan hafazan dari surah At-Tahrim, ayat ke-6: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."***

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Inception: Movie Review

Knock, knock, knock!

New Moon, Finally