Tanaman Akhirat

Assalamualaikum,

"Dunia adalah tanam-tanaman akhirat."
Al-Hadis.

Begitu peringatan dalam meniti helaian-helaian terakhir 'Nota Hati Seorang Lelaki'.

'Tanam-tanaman' inilah yang bakal menemani kita selepas melewati kehidupan yang seketika: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.

Untuk bersedekah perlulah mengumpulkan secukupnya. Mestilah yang halal dan berlandaskan Islam. Biar jadi si kaya yang pemurah. Biar jadi si kaya yang banyak memberi di dunia dan banyak mendapat di akhirat. Biar jadi si kaya yang merendahkan diri di dunia tapi mendapat ketinggian di akhirat.

Ilmu perlu dituntut kemudian disampaikan dan dikongsikan. Persoalannya ilmu yang bagaimana? Ilmu yang membawa ke 'jalan yang lurus'. Atau ilmu yang merantai dan mengheret ke neraka yang dalam? Kalau ilmunya betul sekalipun, adakah sekadar diempang? disalahguna? disampaikan dengan hati yang riak? atau disampaikan dengan bulat tekad kerana Allah, memohon keikhlasan dan sebagai menyampaikan hak kepada yang berhak?

Anak-anak umpama kain yang putih bersih. Mahu dicorak menjadi siapa? Memanglah iman tidak dapat diwarisi. Dimiliki sekalipun tidak terwariskan, apatah lagi jika tiada langsung? Jika mengidam anak yang baik, ibu bapa mesti juga menambah baik diri. Jika mengidam anak yang berilmu agama, ibu bapa mesti berilmu agama dahulu. Kata bijak pandai, mendidik anak bermula sebelum dilahirkan, dengan mendidik diri sendiri - segalanya biar 'halalan toyyiba'.

Dunia adalah tanam-tanaman akhirat.
Terfikir, tanam-tanaman apa yg telah disemai lewat usia yang semakin menghampiri ajal.
Berapa banyak harta yang telah disedekahkan dengan ikhlas?
Bimbang sedekahnya sedikit, andai banyak dihiasi riak dan jauh dari rasa kehambaan....
Mampukah mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah?
Bimbang sekadar meramaikan umat, tapi melestarikan Islam tidak... Bak kata Ustaz Hasrizal, Muhammad yang berperibadi Abu Jahal.
Berapa banyak ilmu yang bermanfaat telah diajarkan?
Bimbang lebih banyak menyampaikan ilmu yang lagho, mengajak ke arah maksiat dan sia-sia...

Sudah cukupkah dakwah?
Sudah berapa ayatkah yang telah disampaikan?

Lalu mencemburui penulis-penulis, bloggers, pendakwah dan personaliti yang menggunakan kelebihan persona mereka untuk menyampaikan pesanan-pesanan, ilmu-ilmu, peringatan dan inspirasi yang baik... Yang memimpin hati-hati melalui jalan yang lurus. Yang memberitahu caranya mencari rezeki yang halal dan mengajak sedekah jariah, yang mendidik parenting 101 demi melahirkan generasi Muhammad, yang mendidik tentang kasih sayang, cinta, hablumminallah wa hablumminannas. Suara mereka dibaca dan didengar, diamalkan dan dikongsikan, kemudian di sampaikan.

Banyaknya tanam-tanaman untuk dituai di akhirat.

Berfikir apa yang ditanam...
Atau adakah mengumpul syer dosa?

Astaghfirullah...

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Ugly Jealousy

Knock, knock, knock!

Klik! Klik! Children