Usai Stanza Cinta
Assalamualaikum, Membaca "Stanza Cinta" menitipkan rindu kepada keluarga usrah di Sarawak. Tema dan kisah yang dibawakan oleh penulis terasa tidak asing dan dekat sekali di hati. Ada diantaranya memang pernah aku alami, sebahagian lagi memang terjadi - lalu aku percaya "Stanza Cinta" bukan sekadar cerita di atas kertas. Pertama kalinya, sesebuah novel itu terasa begitu peribadi dan penuh emosi untuk aku. Bukan hanya kerana rindu, tapi yang utamanya, aku perlu diingatkan. Alhamdulillah, novel ini adalah peringatan yang baik. Banyak yang disampaikan melalui watak Amni Sorfina. Melalui "ketenangan yang suci" itu, disampaikan impian dan prinsip yang wajar bagi seorang Muslimah; dan bagaimana menjadi Muslimah yang sejati. Menelusuri hidup seharian Amni Sorfina pembaca diperkenalkan dengan pendidikan akhlak yang baik - kepentingan solat dan doa, saranan bersabar dan bersangka baik, tanggungjawab, adab pergaulan serta cara terbaik untuk berhadapan dengan ujian Al...