Friday, November 16, 2012

Gaza: Peluang ke Syurga

Assalamualaikum,

Jumaat pertama tahun ini.
Namun hati sayu dan sedih dengan perkhabaran derita di Gaza. Benarlah, serangan ke atas Gaza pada awal Muharram adalah satu penghinaan ke atas umat Islam - Muharram adalah salah satu bulan suci di mana peperangan adalah diharamkan.

Perlukah dan dapatkah kata-kata menggambarkan penghinaan dan penganiayaan besar tersebut?

Terdetik di hati pada pagi Jumaat yang mulia ini: "Ya, teruskanlah kehinaan kamu itu. Teruskanlah jadikan bumi Gaza itu lorong-lorong dan platform ke syurga. Teruskanlah jadikan bumi Gaza itu tempat bagi hamba yang sabar dan redha dengan ujian Allah. Teruskanlah buka peluang kepada para pejuang Islam untuk menemui Maha Pencipta dalam keadaan syahid."

Setiap kali menatap gambar-gambar jenazah dari Gaza, tiada lagi air mata, hanya doa dan redha mereka kembali kepada Allah: "Seorang lagi ahli syurga, InshaAllah."


Teruskanlah meramaikan ahli syurga!

Di dalam kelemahan, kupanjatkan doa memohon sejahtera kepada saudara-saudaraku di Gaza dan tempat-tempat lain yang menerima penindasan yang sama.

Ya Allah Tuhanku Yang Maha Mengetahui,
Hantarkanlah bantuan kepada saudara kami yang ditindas,
Dengan bantuan yang baik dari Pengetahuan-MU Yang Maha Luas,
Yang memberi keuntungan untuk mereka pada hari Kebangkitan yang pasti.
Ya Allah Tuhanku Yang Maha Lemah Lembut,
Tetapkanlah dan teguhkanlah hati serta iman mereka di jalan-MU.
Jadikanlah mereka hamba-MU yang sabar dengan ujian-MU.
Dan bukan hamba-MU yang berputus asa dan marah dengan ujian-MU.
Ya Allah Tuhanku Yang Maha Memberi Balasan Yang Baik,
Jadikanlah mereka hamba-MU yang syahid,
Yang berjuang hanya kerana-MU dan pada jalan-MU,
Sesungguhnya tiada balasan yang lebih elok bagi mereka melainkan balasan yang telah Engkau janjikan.

Ya Allah Tuhanku Yang Maha Agung,
Bersihkanlah hati kami yang berada di luar kemelut penganiayaan ini,
Semoga lahir belas kasihan dan kemanusiaan terhadap saudara kami,
Agar kami tidak lupa diri dan melupai kebajikan sesama kami,
Janganlah hati kami dibiarkan mati.

Amiin Ya Rabb.

Wassalam.

Wednesday, November 14, 2012

Azam 1434H

Assalamualaikum,

29 Zulhijjah 1433H.
Hari terakhir untuk tahun ini.

Refleksi

"Hablumminallah Wa Hablumminannas". Begitu azam aku menjelang 1433H yang lalu. Aku berazam untuk memperbaiki hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Poin penting: kerendahan hati tinggi nilainya, sabar itu mahal harganya dan kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba yang bertuhankan Allah Yang Maha Tinggi itulah kuncinya. Tiada lagi jalan lain, melainkan Jalan Yang Satu.
Bukan mudah menggabungkan ketiga-tiganya. Terasa dunia terlepas dari genggaman... Tapi itulah poinnya: belajar melepaskan dunia (bukanlah sampai tidak ambil kisah langsung!) dan berikan ruang dalam jiwa dengan kemahuan terhadap akhirat. Yang mendapat akhirat, pasti mendapat dunia. InshaAllah.
Soalan "sudah tercapaikah?".
Jawapannya, masih memperbaiki hari demi hari.

Azam 1434H

Pertamanya, perlu dilanjutkan operasi "Hablumminallah Wa Hablumminannas" ke tahun seterusnya. Terasanya masih belum cukup rasa.

"Bila kamu taat kepada Allah, hati kamu akan bahagia. Sekurang-kurangnya jika kamu sedang bermasalah dengan dunia, kamu tahu kamu tidak bermasalah dengan Tuan Punya Dunia." - Hilal Asyraf -

Keduanya, ingin menuntut ilmu rumahtangga dan keibu bapaan. Kenapa? Kerana banyak perkara bermula di rumah dan kembali ke rumah. Membina sebuah keluarga Islam yang hidup dengan roh Islam umpama membina sebuah empayar [Islam]. Takkan terbina dengan sendiri, takkan terbina dalam sehari, takkan terbina tanpa ilmu.

Semoga Allah lindungi hati dari perasaan riak dan bangga diri. Semoga Allah pelihara daripada pujian nafas syaitan yang melalaikan. Semoga Allah hijabkan daripada pandangan yang berniat buruk atau berkesudahan yang merugikan. Ya Allah, kami mohon redha-MU untuk hijrah kami. Amiin Ya Rabb.

Maha Suci Engkau Ya Allah. Aku memuji kepada-MU. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Engkau. Aku mohon keampunan-MU dan aku bertaubat kepada-MU.

Selamat tahun baru 1434H.
Hijrahlah.

Wassalam.